Sunday, 1 September 2013

PKR Menghina Jalur Gemilang Di Twitter!!!


Ini tweet terbaru seorang politikus pembangkang. Ikutkan hati, saya tidak berselera hendak ulas, tetapi bila ia sakan dijadikan bahan jenaka di pautan laman sosial FB dan Twitter, saya terpanggil untuk bercakap sedikit. 

Bagi mereka yang berfikiran waras untuk menaakul secara objektif, 'tweet' ini adalah satu penghinaan. Yang dihina dengan perkataan 'bodoh' ini adalah para pemimpin negara. 

Tweet ini pula disebarluaskan sebagai bahan jenaka ketika negara diambang hari kemerdekaan. 

Tidak bolehkah pada satu hari ini kita berkongsi rasa bahagia ulangtahun kemerdekaan tanpa merosakkannya dengan kenyataan sebegini? Ya, kita tahu pemimpin berkenaan adalah pemimpin BN, tetapi kenapa pada hari bersejarah ini pun, orang-orang ini mahu melemparkan penghinaan semata-mata mahu meraih laba politik? 

Bagi saya, pada hari kemerdekaan, semua politikus sama ada kerajaan atau pembangkang patut mengajak rakyat sama-sama menyemai semangat patriotisme, meraikannya dengan rasa bangga, bukan mencemarinya dengan kenyataan dangkal begini. Saya rasa, ada baiknya selepas ini pemimpin kerajaan dan pembangkang berkongsi pentas bagi sama-sama meraikan hari bermakna ini.


Lebih malang, dikhabarkan pada majlis-majlis tertentu termasuk di Dataran Merdeka, ada pihak yang tergamak menggantikan Jalur Gemilang dengan 'Sang Saka', bendera yang dikatakan akan diangkat sekiranya pembangkang memerintah. Jujur, saya terkejut dengan perkembangan-perkembangan ini. 

Apa motif di sebalik semua ini? Kenapa simbol, lambang dan sejarah kemerdekaan negara mahu diserang sehingga sebegini rupa? Tidak keterlaluan jika dikakatan ini tidak ubah seperti satu gerakan subversif yang mahu menyemai anti patriotisme dalam kalangan rakyat. 


Seingat saya, setiap kali menjelang hari kemerdekaan, ada sahaja kenyataan dangkal keluar dari mulut pemimpin pembangkang. Siapa boleh lupa bagaimana pemimpin DAP, M. Manoharan sebelum ini menghina Jalur Gemilang sebagai 'bendera tidak berkelas dunia'? Malah dengan angkuh mengatakan bendera Malaysia akan diubah jika Pakatan Rakyat memerintah!

Siapa boleh lupa bagaimana pemimpin Pas, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menggelar Jalur Gemilang sebagai Jalur Malang? Begitu juga tindakan kartunis pro-pembangkang, Zunar yang melakarkan karikatur yang memperlekehkan panji-panji kemerdekaan negara. 


Di banyak negara, hatta di barat, politikusnya berlumba-lumba menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat walaupun berbeza kabilah politik. Bagi mereka, tiada kompromi dalam menunaikan tanggungjawab memelihara panji-panji negara kerana ia simbol kedaulatan negara. 

Nampaknya, nilai-nilai itu semakin terhakis di Malaysia, sebuah negara bertuah. Bukan kerana rakyat kita tidak cukup patriotik, tetapi kerana membiaknya politikus haprak yang mahu menjadikan apa sahaja sebagai modal politik untuk meraih tampuk kuasa.

No comments:

Post a Comment