Tuesday 3 September 2013

MELAYU, ISLAM DAN NEGARA MALAYSIA


Melayu di Malaysia berada di dua persimpangan. Dua persimpangan yang perlu dipilih untuk menentukan survival bangsa samada relevan atau tidak sebagai pemimpin di tanah bertuah ini. Atau melukut di tepi gantang untuk tempoh yang mendatang. Adalah lebih baik jika persimpangan itu disatukan dalam bentuk pemuafakatan atau persepakatan. Cabar mencabar supaya membubarkan salah satu untuk disatukan dalam satu kumpulan tidak akan tercapai dalam suasana terdekat bahkan makin bertambah sengit persengketaannya.

Satu kumpulan walaupun dari pelbagai latar belakang berusaha untuk mengatakan bahawa Malaysia adalah negara Islam. Dan sememangnya bumi Malaysia adalah bumi Islam dan negara Islam. Negara yang diwarisi dari nenek moyang yang telah meletakkan asas yang kukuh bahawa Malaysia adalah negara Islam. Islam bukan kerana kerajaaan yang memerintah tetapi ianya merupakan tanah asal tanah orang Islam dan bumi orang Islam. Lebih-lebih lagi diperkukuhkan dengan dokumen bertulis yang berbentuk perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan Tanah Melayu. Mana-mana kerajaan yang memerintah Malaysia mesti melaksanakan Islam kerana Malaysia negara Islam.

Jangan kita labelkan negara kita ikut kerajaan yang berkuasa. Kalau salah mesti diperbetulkan kerajaan tersebut. Perbetulkan dengan jalan yang terbaik dan ikut perundangan bukannya kita tukar status negara. Seolah-olah bila golongan sosialis memerintah maka kita labelkan negara kita sebagai negara sosialis. Bila komunis memerintah maka kita labelkan negara kita negara komunis. Kita mesti tegaskan negara kita adalah negara Islam tetapi diperintah oleh komunis maka kita mesti berjuang untuk kembalikan negara kita kepada pemerintahan Islam. Islam negara kita tidak bertukar dengan bertukar kerajaan kerana asalnya adalah negara Islam dan tanah umat Islam. Amat malang bila ada individu, NGO atau parti politik Melayu yang mempertikaikan kedudukan negara kita sebagai negara Islam. Kita tidak pernah kata negara kita negara orang putih kerana pernah dijajah oleh orang putih. Begitu juga kita tidak pernah kata negara kita negara Jepun walaupun pernah dijajah oleh orang Jepun. Apa yang kita kata ialah negara kita dijajah oleh orang putih dan orang Jepun. Begitu juga dengan Islam. Malaysia adalah negara Islam.

Amat malang bila ada orang Islam bersama orang bukan Islam sama-sama berjuang untuk membuktikan negara kita adalah negara sekular. Kalau tidak berjuangpun sekurang-kurangnya mengangguk apa yang non-Muslim perkatakan. Setuju dengan apa yang didakwakan oleh orang bukan Islam bahawa negara kita adalah negara sekular. Diforumkan bersama mereka untuk menyatakan persetujuan. Percaturan politik telah merubah segala-segalanya. Percaturan politik yang mementingkan undi dalam pilihanraya. Aliran dan ideologi tidak dipedulikan asalkan undi diperolehi. Perlu ditegaskan Malaysia adalah negara Islam dan tanah umat Islam.

No comments:

Post a Comment