Wednesday, 4 September 2013

ORANG BARAT DAN PEGANGAN AGAMA MEREKA



Pernahkah kita terfikir, apakah orang barat itu kurang beragama atau kuat beragama? Jika kita fikir mereka kurang beragama, maka pemikiran kita sudah salah. Sebenarnya, orang barat seperti juga orang Melayu Islam, mereka adalah masyarakat yang kuat beragama. Malah, mereka paling kuat beragama dan beribadat kepada tuhan anutan agama mereka.

 Tapi bila saya katakan orang barat kuat beragama? maka orang Melayu akan bertanya, "habis tu, yang puak athiest wujud, takkan orang barat masih dianggap kuat beragama? Untuk jawapan kepada soalan ini, biar saya bertanya, apakah itu makna atheist? "atheist" bermaksud "dewa" atau "deity" dan sebenarnya golongan "atheist" ini mereka tidak mempercayai "dewa" bukan mereka tidak mempecayai tuhan. Tuhan dan dewa adalah dua konsep yang tidak sama.

Dewa itu manusia mitologi yang mempunyai separuh kuasa seperti tuhan contohnya Poseidon atau Neptune, manakala tuhan adalah tuhan yang menjaga semesta alam dan golongan atheist di barat ini mereka percaya tuhan tapi tidak dewa, maka dengan itu mereka adalah atheist.

Dan kita telah tertipu sekali lagi dengan berfikir orang barat dan Yahudi tidak kuat beragama. Mereka atheist dan mereka tidak percaya kepada tuhan. Sebenarnye merekalah antara masyarakat yang paling kuat beragama. namun,yang menyedihkan sekali kita sedikit pun tidak mahu membuat sedikit penyelidikan mengenai hal itu.

Kita harus mulai hari ini melihat orang barat ini mereka begitu kukuh kepercayaan agama mereka seperti kita. Bezanya, orang Melayu Islam suka melaung-laungkan perihal agama dibibir-bibir mereka sehingga maknanya sudah hilang tenggelam.

Sedangkan, orang barat dan yahudi contohnya, walaupun mereka kuat beragama tapi mereka pandai menyimpan agama mereka dalam urusan-urusan seharian mereka. Mereka tidak simbolkan agama mereka dibibir dan anak tekak mereka secara pekikan atau membuant bising. Sebaliknya, dengan cara yang sangat halus dan senyap.

Nilai-nilai agama yang mereka selitkan dalam perilaku dan pekerjaan seharian sangat halus, tidak bising-bising sehingga tidak nampak suntikan agama yang mereka lakukan. Tapi ia berkesan. Ia terjadi. Ia telah berjaya mempengaruhi sebilangan besar jutaan manusia di dunia.

Sebagai contoh, seorang pengarah filem terkenal Steven Speilberg adalah seorang yahudi yang sangat kuat beragama, tapi tidak pula dia menunjuk-nunjuk, mendabik-dabik keyahudiannya secara bising-bising di dalam hasil kerjanya. Malah tidak juga dia mengenakan topi kecil yang biasa dipakai oleh orang yahudi. Imej, simbol dan gaya Yahudi tidak ada secara fizikal pada dirinya, tapi ianya berada di dalam imaginasinya yang dizahirkan dan diadun dengan begitu sempurna di dalam hasil kerjanya.

Selain itu, cara suntikan elemen keyahudian Steven Spielberg adalah sangat halus dan terperinci sehingga tidak disedari oleh kita. Kita menyanjungi filem-filem arahan dia tapi kita terlupa bahawa secara tidak langsung kita juga telah menyanjungi konsep-konsep Yahudi yang ditanam secara halus. Sebenarnya, kalau kita mengkaji konsep E.T., konsep "Intergalatic War", dan konsep "Darth Vader" contohnya, kita akan perasan wujud elemen-elemen keyahudian. Tapi kita tidak kaji, oleh sebab itu kita tidak tahu. Maka jadilah kita golongan "kita tidak tahu yang kita tidak tahu".

Sebenarnya, ramai dari kita rasa bersalah kalau tidak meluahkan sedikit bunyi-bunyi Islamik dalam pekerjaan kita. Dari penjual ubat tepi jalan, kepada  pakar motivasi pasti akan menjual bunyi-bunyi agama yang Islamik agar tindakan dan perilaku mereka berbaur Islamik. Ini supaya kumpulan sasaran melihat mereka juga Islamik. Kalau tidak membuat bunyi-bunyi Islamik nanti dibilang kita ini sesat dan kafir.

Teknik menzahirkan elemen Islam sebenarnya tidak perlu melalui kata-kata secara pekikan di mikrofon atau meluahkan secara berkali-kali. Ia sepatutnya senyap, halus dan progresif.

Jika kita mahu orang bukan Islam termakan dengan elemen-elemen Islam dan akhirnya menjadi Islam seperti kita, tidak semestinya kita harus sumbat mereka dengan simbol-simbol dan bunyi-bunyi Islamik dari anak tekak setiap kali bertemu mereka.

Kerana ada sebahagian orang bukan Islam memang sudah menyanjungi Nabi Muhammad, tapi bila berjumpa dengan kita, habis disumbatnya dengan segala, ideologi Islam, falsafah dan konsep, segala idea hukum halal haram ditabur dengan berseloroh berguni-guni banyaknya. Maka orang bukan Islam akan lari dari mengenal Islam, puncanya adalah kerana cara kita yang salah menyampaikan.

Sebenarnya, orang Melayu tidak mahir dalam teknik susupan secara halus. Ini kerana orang Melayu mempunyai kesabaran yang pendek atau "short fuse". Orang Melayu mahu cepat dan segera setiap sesuatu hal dan kalau ia memakan masa orang Melayu akan mudah marah, hilang sabar dan mengeluh.

Berbeza dengan orang barat atau Yahudi, mereka ini bangsa yang sabar dalam menyampaikan agama mereka kepada kita. Mereka bijak dalam mengatur langkah dalam membuat susupan halus lagi terperinci dalam mendoktrinisasikan minda dan jiwa kita. Dalam mengagungkan agama anutan mereka, orang barat dan Yahudi membangunkan kekuatan material, intelektual, spiritual dan ilmu pengetahuan secara sistematik dan menyeluruh.

Mereka juga bijak dalam membuat adunan doktrin-doktrin sebati yang sempurna dengan menggaulkan budaya dan agama dalam satu adunan sehingga tidak terasa pun kita sedang melantak idea-idea agama mereka dengan lahap dan rakus.

Pendek kata, jika kita mahu orang menerima agama kita, biarlah ianya secara perlahan-lahan dan rapi. Bukan mengibarkan bendera panji-panji, atau melaung, atau berpekik di depan kedutaan dan sebagainya. Bukan saya menyokong barat atau yahudi, tapi saya mempunyai pemerhatian yang tajam dan peka, dan saya lihat inilah kelemahan orang-orang Islam dalam menyampaikan syiar Islam.

Jika kita fikir kita mahu orang lain terima agama kita, orang lain pun mahu kita menerima agama mereka. Kalau kita rasa kita kuat beragama, orang agama lain pun kuat beragama juga. Tapi bezanya, orang barat dan yahudi lebik bijak, halus, tersusun dan sabar manakala kita orang Islam hanya bunyi-bunyi Islamik yang meniti dibibir-bibir yang akhirnya hilang maknanya.

George Soros pernah menulis dalam salah sebuah bukunya, mengatakan bahawa negara Amerika Syarikat tidak pernah tidak "religious". Agama tetap menjadi pusat graviti pentadbiran mereka. Sebahagian dari kamu mungkin akan berkata, bagaimana dengan zaman "Reformation" yang mana pentadbiran negara dan hal ehwal agama di asingkan? Pada pendapat saya itu semua hanyalah helah dan tipu daya, barat dan yahudi mereka masih kuat dan teguh dengan agama mereka, sama seperti kita. Malah lebih kukuh dan kuat seperti cengkaman Helang pada mangsanya.

No comments:

Post a Comment