Thursday, 5 September 2013

TIADA SEBAB PENIAGA UNTUK NAIKKAN HARGA BARANG



Kuala Lumpur: Peniaga diberi amaran supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang, susulan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel, berkuat kuasa tengah malam tadi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek, berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana peniaga yang cuba berbuat demikian dan mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas berdasarkan akta sedia ada.

Klik disini untuk selanjutnya>>PERAKPOST.COM

HISHAMMUDDIN BERSEDIA ELAUNNYA SEBAGAI MENTERI DIPOTONG



Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau bersedia elaunnya sebagai menteri dan wakil rakyat dipotong untuk bersama-sama merasai kesusahan rakyat dan membantu ekonomi negara.

Katanya, saranan yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perkara yang boleh dipertimbang dan dibincangkan.

“Sebagai wakil rakyat dan menteri, saya sanggup elaun saya dipotong dalam usaha untuk berjimat. Jika pemotongan elaun saya boleh membantu mengukuhkan ekonomi, saya tidak teragak-agak dan bersedia melakukannya.

“Kita (wakil rakyat) harus melakukan perkara sama (potongan elaun) dalam konteks penjimatan supaya rakyat melihat. Pada saya secara peribadi saya sanggup tak kira membabitkan apa-apa pemotongan elaun,” katanya ketika mengulas saranan Dr Mahathir supaya perbelanjaan kerajaan dikurangkan dalam membantu menurunkan defisit negara.

Hishammuddin ditemui selepas Badan Perhubungan UMNO Johor mengadakan pertemuan tertutup bersama Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, pemotongan elaun boleh dilaksanakan jika wakil rakyat bersatu hati dalam berdepan waktu sukar dan mempertahankan ekonomi negara.
“Kita (wakil rakyat) kena hadapi kesusahan sedikit, perkara ini bukan lama. Jika kita teragak-agak melaksanakan perkara ini semua pihak akan terjejas jika ekonomi merudum.

“Jika ekonomi kita gagal dipertahankan dan ketika itu baru mahu lakukan pemotongan elaun wakil rakyat, ia mungkin sudah terjejas (teruk). Oleh itu pada saya baik potong elaun kita sekarang,” katanya.

TIDAK PERLU PERSOALKAN TINDAKAN POLIS




Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyelar tindakan sesetengah pihak yang mempersoal tindakan polis menahan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said pada awal pagi semalam.

Beliau berkata penahanan itu dibuat mengikut prosedur iaitu polis telah ke rumah Samad pada awal petang Selasa tetapi beliau tidak berada di rumah.

"Kita pergi awal sebenarnya (tetapi) dia tidak ada di rumah. Dia balik pada 12 tengah malam secara senyap-senyap, jadi kita terpaksa tangkap dia waktu itulah.

"Kalau berani melakukan kesalahan yang memalukan (dan) melakukan bendera negara kita yang kita sayangi sebegitu (kibar bendera lain), kenapa pula (ada pihak) menyalahkan polis bila kita ambil tindakan?," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada wacana "Masyarakat dan Jenayah-Di Manakah Kita" anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Berita Harian (BH) di sini hari ini.

Khalid berkata Samad juga diminta menyerah diri sebelum itu tetapi beliau gagal berbuat demikian.

Semalam, Samad dibebas dengan jaminan polis setelah beberapa jam diambil keterangan. Beliau ditahan kira-kira 12.25 pagi bagi membantu siasatan berhubung insiden mengibar bendera selain Jalur Gemilang pada malam sambutan ambang Merdeka Jumaat lepas.

Pengerusi Bersama Bersih Datuk S. Ambiga mempersoal tindakan polis menahan Samad pada lewat tengah malam dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu "gangguan". - Bernama

Cuepacs Sokong Kenaikan Harga Petrol



Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong tindakan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen, jika ia memberi faedah kepada rakyat untuk masa hadapan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, Cuepacs bersetuju jika tindakan itu boleh membantu rakyat, terutamanya dalam pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang dijangka akan dibentangkan dalam bajet pada penghujung tahun ini.

“Kita menyokong dengan kenaikan tersebut sekiranya kerajaan mengambil langkah memberi manfaat kepada rakyat dalam bentuk lain, seperti pemberian BRIM yang berganda iaitu daripada RM500 kepada RM1,000, juga bantuan lain kepada rakyat.

“Selain itu, kita juga mahu agar bantuan yang diberi kerajaan dilakukan secara berterusan, bagi memastikan rakyatnya tidak rasa terbeban dengan kenaikan itu, kerana kita khuatir ada barang lain pula yang akan naik nanti.

“Bagaimana pun, saya harap kerajaan sudah memikirkan sesuatu bagi memberi manfaat berterusan kepada rakyat sebelum keputusan menaikkan harga petrol dan diesel dilakukan, selain memikirkan impak daripada kenaikan tersebut,” katanya.

Menurut Omar, jika kerajaan mengurangkan subsidi tersebut, ini bermakna lebihan terhadap peruntukan itu seharusnya dikembalikan semula kepada rakyat, tidak kira dalam apa jua bentuk.

SEBAB SEBENAR SAMAD SAID DITAHAN WAKTU TENGAH MALAM



Ini baru kes 'pecah tembelang' lanjutan isu kibar bendera Sang Saka Malaya di Dataran Merdeka pada malam ambang Merdeka.Amat memalukan kerana ia melibatkan seorang Sasterawan Negara yang konon aktivis pejuang kebenaran.

Kalau mengikut versi Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar nampaknya Datuk A Samad Said berbohong dakwa dia berada di rumah sepanjang hari Selasa dan polis tidak datang tahannya untuk soal siasat waktu itu.

Isunya di sini ialah puak pembangkang dok galak balon polis mempersoalkan mengapa tak hormat seorang berstatus Sasterawan Negara datang datang tahan beliau waktu tengah malam di rumahnya.

Ekoran kontroversi ini Khalid memberitahu wartawan ketika ditemui selepas satu majlis di Kuala Lumpur Khamis kisah sebenar mengapa Samad terpaksa ditahan waktu tengah malam.

Beliau berkata polis telah pergi ke rumahnya ( di Bangsar) pada waktu petang namun Samad tidak ada di rumah.

Menurut Ketua Polis Negara itu Samad hanya menyelinap masuk balik ke rumahnya pada waktu tengah malam Selasa.

Beliau ditahan pada jam 12.30 awal pagi Rabu.Beliau cuma ditahan untuk soalsiasat selama dua jam dan dibebaskan jam 2.30 pagi.

Namun puak pembangkang dan penyokong mereka buat riuh dalam internet hentam polis macam-macam persoal penangkapan  waktu tengah malam keatas Samad yang berusia 80 tahun.

"Dia hanya balik waktu tengah malam,dia balik senyap-senyap,kami menunggu.Maka kami tahan dia.

"( Sebelum itu) Kami sudah minta dia serah diri  tetapi dia tidak.( Jadi) Kenapa kami tidak boleh tahan dia ( waktu tengah malam).

TERLEBIH MESIR, TERLUPA PALESTIN



TIDAK keterlaluan, dalam tempoh sejak 14 Ogos lepas, perhatian, tumpuan, sorotan dan analisis semuanya tentang Mesir. Sepanjang tempoh masa itu, gelora yang berlaku di Mesir pasca kejatuhan bekas Presiden dokongan Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi, yang kemudiannya menjadi lebih ribut gara-gara protes bertukar simbahan darah, semuanya dikupas  pelbagai pihak dengan menggunakan sebarang landasan bentuk komunikasi dan pertukaran maklumat.  Dalam tempoh itu juga, reaksi dan kupasan di mana-mana landasan ada yang tertib,  tidak kurang cuma sokongan sebelah pihak , jarang terkecuali bersulamkan emosi  sebaliknya memasukkan fiksi bagi menyokong kenyataan dibuat.

Jadi, salahkah perhatian yang sangat terlebih ke atas Mesir itu sepanjang dua minggu lalu? Tidak mengapa, jika tumpuan diberikan kepada negara anggota Asia Barat yang satu itu. Ini kerana itulah peristiwa yang  paling ada tempat di dada media kerana sifatnya bercirikan “juicy news”, memetik kata pakar-pakar dunia media dan pemberitaan.  Tetapi pada pemerhatian saya sebagai individu yang mengikuti rapat perkembangan di Mesir atas asas, sejarah kebangkitan Islam di Tanah Melayu, kini Malaysia,  turut ada kaitan dengan negara itu, liputan mengenainya terlalu banjir melimpah.

Bayangkan, sejak dua minggu lalu, analisis akademik lebih 90 peratus merujuk tentang Mesir. Mesir itu dan Mesir ini. Jangan lupa, forum mengenai Mesir turut bercambah dalam tempoh itu. Begitu juga cakap-cakap di restoran kedai kopi, kafe atau bistro, disambung kupasannya selepas hidangan terkini mengenainya disiarkan di televisyen yang tersedia sebagai kemudahan. Itu belum masuk di blog, status media sosial dan sebagainya hampir kesemuanya tentang Mesir, cerita Ikhwanul Muslimin, kisah kekejaman pihak berkuasa kerajaan sementara Mesir kerana menganggap nyawa penyokong pro-demokrasi lebih murah daripada harga gandum.

Apa lagi? Di akhbar-akhbar, hampir kesemuanya namakan apa sahaja, dalam atau luar negara, muka depan berita tidak lain tidak bukan, tentang Mesir.
Perhatian yang begitu banyak bukannya kesalahan pada hemat saya tentang Mesir itu, sedikit sebanyak menyebabkan kita berdosa kecil. Kerana apa? Kita lupakan Palestin.

Tidak ramai yang tahu dan sedar atau barangkali pura-pura enggan peduli, dengan sorotan serta tumpuan begitu banyak tentang Mesir itu, kita terlupa tentang usaha damai Palestin-Israel. Ia berlaku pada hari yang sama, operasi pihak berkuasa ke atas penyokong pro-demokrasi. Hari berlangsungnya rundingan damai di Ramallah itu, serentak dengan perdebatan angka korban pertumpahan darah Mesir membabitkan pihak berkuasa dan Ikhwanul Muslimin. Dakwa pihak berkuasa, yang terbunuh hanya berpuluh-puluh orang, tetapi Ikhwanul Muslimin tegas berpendirian angka korban angkara tindakan kejam itu mencecah 2,000 orang.

Ketika kita sibuk mencari kebenaran, masa satu yang mahu digunakan dan dilaporkan untuk memancing perhatian , kita terlepas perkembangan susulan rundingan damai  Israel-Palestin. Hasilnya, liputan itu tidak mendapat perhatian sedikit pun di dada media di sini, di Asia Barat atau negara Barat.

Kita juga mungkin  sedikit “melampau” kerana turut tidak ingat tentang Hari Al-Aqsa dan bahaya terkini yang menantinya. Diingatkan, Hari Al-Aqsa diingati pada 21 Ogos juga sepanjang tempoh dua minggu ketika Mesir bermandi darah. Sekali lagi, perhatian keterlaluan kepada Mesir menyebabkan kita terlupa Palestin dan Al-Aqsa. Kita salah kalau mencemuh padan muka Palestin dan Arab kerana terus-terus berbalah, sebab itu Masjid Al-Aqsa terus terjajah. Kita jadi berdosa kalau tidak berbuat apa-apa tentang Al-Aqsa kerana realitinya ia isu umat Islam. Jangan sesekali terlupa bahawa Masjid Al-Aqsa, yang letaknya di bumi Palestin terkepung, adalah masjid ketiga paling suci selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi.  

Sejak Zionis menguasai Al-Aqsa bermula tahun 1967, pelbagai bentuk ancaman dan bahaya ditempuhinya. Ia dibakar, dicerobohi, digali dasarnya, dihalang pengunjungnya, dikepung, dinajisi dan sebagainya. Adalah dikesalkan kerana kebanyakan kita menganggap bahaya ke atas Al-Aqsa ini kurang diketahui oleh umat Islam sedunia, apatah lagi umat Islam di Malaysia.

Isu Palestin yang berlanjutan sejak sekian lama sering dilihat sebagai isu Arab-Israel dan sering pula digambarkan sebagai konflik perebutan tanah. Ia bagaikan telah mengaburkan isu masjid ini. Lebih menyedihkan lagi, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), kini dipengerusikan Kazakhstan tahun ini langsung tidak menyebut secara spesifik isu masjid ini, apatah lagi untuk menyedarkan umat Islam sedunia tentang bahaya menantinya selepas Zionis tidak berehat daripada usaha menjajah kekal di situ. Wajar diingatkan,  OIC ditubuhkan sejurus Masjid Al-Aqsa dibakar pada tahun 1969.

Sekali lagi, tidak salah jika setiap hari ada berita tentang Mesir. Pun benar keputusannya kalau meletakkan berita Mesir sebagai hidangan muka depan akhbar atau buletin utama di slot berita televisyen. Namun, ia sedikit tidak betul apabila kedua-duanya tidak diberikan liputan seimbang sedangkan kedua-duanya saling berkait. Apa yang berlaku di Mesir akan menjejaskan Palestin, tanpa kecuali aspek rundingan damai. Jika sesuatu berlaku kepada Palestin, Masjid Al-Aqsa turut terancam. Maka, adalah betul, kalau perhatian kita tidak terlebih kepada Mesir, pada masa sama, tidak terkurang kepada Palestin. Begitulah.

PETRONAS MENJELASKAN PERKARA SEBENAR TENTANG KENAIKAN RON95 20SEN


pet

PETRONAS hari ini menjelaskan mengenai tanggapan salah sebilangan rakyat bahawa Malaysia dapat mengeluarkan produk petroleum yang lebih murah seperti gasoline dan diesel jika ia mengeluarkan dan menggunakan sendiri minyak mentah.

Bagaimanapun perbadanan minyak negara itu berkata, minyak mentah Tapis blend yang ditemui di perairan Malaysia, merupakan bahan mentah yang sangat mahal.
Oleh itu, dengan mengeksport minyak Tapis blend dan mengimport minyak kurang berkualiti untuk penggunaan dalam negara, Malaysia meraih manfaat lebih besar daripada sumber minyak mentah semula jadinya, dan pada masa yang sama memastikan jaminan tenaga untuk penggunaan domestik.

Petronas, dalam satu kenyataan malam ini mengulas mengenai rasionalisasi subsidi kerajaan baru-baru ini yang telah menimbulkan kebimbangan dan tanggapan salah sebilangan rakyat.
Mereka berpendapat rakyat sepatutnya menikmati produk petroleum, terutama gasoline dan diesel, pada harga minimum selari dengan status negara sebagai negara pengeluar minyak, katanya.

Ini bertentangan dengan negara seperti  Arab Saudi dan negara Timur Tengah yang menghasilkan minyak mentah murah dalam kuantiti yang besar.
Minyak Tapis blend mencatat premium tinggi berbanding minyak biasa pada harga premium US$122.96 setong pada 30 Ogos, 2013, berbanding minyak mentah yang biasa dijual iaitu minyak Brent blend pada US$115.38 pada hari yang sama.

Petronas berkata, harga runcit semasa produk petroleum di pam di Malaysia tidak menggambarkan kos sebenar pengeluaran komoditi itu memandangkan ia tidak menunjukkan perubahan kos minyak mentah.
Ini disebabkan perbezaan dan impak perubahan minyak mentah sudah diserap oleh subsidi besar kerajaan.

Harga minyak mentah kini semakin meningkat berikutan ketidaktentuan politik dan keselamatan di Timur tengah seperti Mesir dan Syria.
“Bagaimanapun, harga runcit gasoline dan diesel di Malaysia tidak berubah kerana di subsidi oleh kerajaan.
“Subsidi besar merupakan perbelanjaan yang tidak berkekalan dalam jangka panjang, selain itu ia menyebabkan penggunaan tenaga tidak berhemat dan tidak cekap,” kata Petronas. – Bernama